Etika berpakaian

berpakaian sopan

Berpakaianlah yang sopan

KEBEBASAN berpakaian antara kelebihan dimanfaatkan sepenuhnya pelajar apabila melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Pelbagai gaya dapat dilihat di kalangan pelajar universiti, malah, kita boleh mengagak mahasiswa daripada jurusan tertentu berdasarkan penampilan mereka. Sebagai contoh, pelajar berpakaian formal dikaitkan dengan jurusan pendidikan, perakaunan, perubatan, pengurusan dan pengajian Islam.

Pelajar bidang teknologi dan banyak membabitkan kerja lapangan seperti teknologi maklumat, kejuruteraan dan ukur tanah pula cenderung berpakaian selekeh.  Manakala pelajar aliran seni dan sosial seperti muzik, seni bina, drama dan komunikasi massa dikatakan kelompok mahasiswa paling ‘trendy’ dan ‘daring’ penampilannya dengan pakaian serta aksesori berwarna warni dan mengikut aliran fesyen terkini.

Walaupun diberi kebebasan dalam berpakaian, mahasiswa masih tertakluk dengan tatacara berpakaian dan penampilan diri ditetapkan universiti masing-masing iaitu secara umumnya perlu berpakaian kemas dan sopan ketika menghadiri atau berada di dewan kuliah, dewan peperiksaan, pejabat atau majlis rasmi. Antara lain, pelajar dilarang memakai selipar, berbaju jarang dan ketat, seluar pendek, seluar ketat, jeans lusuh, skirt pendek dan kemeja-T berkolar bulat.

Peraturan ini meliputi penampilan pelajar secara keseluruhannya termasuk larangan rambut fesyen afro, punk, berekor dan diwarnakan serta wajib memakai kad pelajar bagi tujuan keselamatan.

Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) antara contoh baik dalam hal ini dengan kebanyakan mereka berpakaian sopan dan kemas terutama pada Isnin yang dikhususkan sebagai ‘Smart Day’ dan mewajibkan pelajar perempuan berbaju kebangsaan sementara lelaki memakai kemeja, seluar slack dan bertali leher.

Pelajar tahun satu Kejuruteraan Elektrik Kuasa Kampus Antarabangsa UTM, Kuala Lumpur, Fadilah Muhidi, 18, berkata amalan baik ditunjukkan pelajar senior itu contoh baik untuk diikuti junior sepertinya dan menjadikan etika berpakaian kemas sebagai budaya di universiti itu.

Pelajar tahun tiga Diploma Kejuruteraan Awam di kampus sama, Darren Lai, 20, berkata peraturan berpakaian ditetapkan universiti itu wajar bagi membiasakan mahasiswa dengan tabiat berpakaian kemas dan sesuai mengikut profesion masing-masing.

“Pelajar pengurusan di kampus ini sering dilihat berpakaian formal kerana banyak membuat pembentangan tugasan, sementara pelajar kejuruteraan akan memakai seluar jeans dan kemeja-T berkolar jika ada kerja lapangan di tapak pembinaan.

Tinjauan di beberapa universiti awam pula mendapati wujud pelanggaran ketara terhadap undang-undang ini apabila pelajar tempatan dan antarabangsa berpakaian terlalu ringkas untuk menghadiri kuliah dan berurusan di pejabat termasuk berseluar ketat dan pendek, memakai baju kemeja-T berkolar bulat dan berselipar.

Malah ada yang berambut panjang, berwarna dan kebanyakannya tidak memakai kad pelajar semasa berada di kampus.

Antaranya, pelajar tahun tiga program Muzik, Arman (bukan nama sebenar), yang mengekalkan imej rambut panjang sejak minggu orientasi bagi mencerminkan identitinya sebagai pemain ‘bass’ dan mengikuti jurusan seni.

Beliau berpendapat universiti seharusnya bersikap fleksibel terhadap pelajar jurusan seni sepertinya yang berani menonjolkan penampilan unik sebagai sebahagian cara ekspresi ciri kreativiti dimiliki.

“Setakat ini tiada masalah bagi saya mengekalkan imej rambut panjang walaupun bidang kritikal adalah program pengajian utama di universiti ini kerana pensyarah fakulti memahami jiwa seni kami. Begitu juga pelajar tarian yang perlu memakai ‘tights’ untuk sesi latihan mereka.

“Sementara itu, saya memastikan peraturan lain seperti memakai kasut dan kad matriks ketika di kampus sentiasa dipatuhi dan mengikat rambut semasa menghadiri majlis rasmi,” katanya.

Pelajar tahun kedua program bahasa Inggeris, Shahir (bukan nama sebenar) yang ditemui berseluar pendek paras lutut, baju kemeja-T ketat dan rambut berwarna perang ketika baru pulang kuliah, berkata gaya pemakaian beliau dipengaruhi perkembangan fesyen semasa. “Sejak sekolah lagi saya berani dalam berfesyen dan tidak dinafikan saat awal memasuki universiti saya teragak-agak untuk bergaya berlebihan tetapi apabila mendapat pensyarah juga sukakan fesyen dan tiada masalah dengan penampilan ini, saya teruskan saja,” katanya.

Rakan sepengajiannya, Lili, yang memakai seluar ketat, tights, berkata keselesaan faktor utama baginya dalam berpakaian untuk ke kampus kerana waktu kuliah yang panjang.

“Jadual kuliah pelajar program bahasa seperti kami lebih padat berbanding program lain, justeru, saya lebih selesa berpakaian kasual dan hanya akan berpakaian formal apabila ada sesi pembentangan tugasan.

“Namun, tidak dinafikan, ada juga pelajar keterlaluan dalam berpakaian hingga ada yang membuka tudung dan mewarnakan rambut semata-mata kerana pengaruh kawan dan tidak mahu dianggap ‘skema’,” katanya.

Pelajar tahun dua Sains Aktuari yang hanya mahu dikenali sebagai Halim pula menyifatkan seluar jeans, kemeja-T kolar bulat dan sandal adalah cukup ‘kemas’ bagi mengikuti programnya kerana pembelajaran kebanyakannya berlangsung di bilik kuliah saja.

Pelajar antarabangsa gagal patuhi peraturan universiti

LANGKAH universiti menetapkan etika berpakaian bukan bermaksud menyekat kebebasan mahasiswa sebaliknya membiasakan mereka dengan tabiat berpakaian mengikut kesesuaian profesion.

Peraturan mewajibkan pemakaian kad pelajar pula bertujuan memudahkan pemantauan keselamatan dan mengelak orang luar berniat buruk menyalahguna kemudahan kampus, bukannya bertujuan mengikat pelajar dengan peraturan ala sekolah.

Ketua Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya (UM), K Puniamurthy, berkata kesedaran mengenai rasional peraturan itu diwujudkan memudahkan pelajar akur dan mengikuti undang-undang ditetapkan universiti.

Katanya, atas dasar itu juga, UM mengamalkan pendekatan mendidik dan memberi peringatan daripada menghukum pelajar yang melanggar peraturan itu bagi mengelak keselesaan pelajar terjejas.

“UM menetapkan Peraturan Pakaian Pelajar UM sebagai kaedah tatatertib bagi menekankan kepada pelajar mengenai kepentingan ia dipatuhi, bukan sekadar garis panduan umum.

“Antara hukuman bagi pelanggaran peraturan ini adalah amaran, denda dan digantung pengajian, namun setakat ini tiada pelajar dikenakan tindakan disiplin berat kerana lazimnya mereka akur selepas diberi amaran.

“Pendekatan mempengaruhi pelajar mematuhi peraturan ini menerusi peringatan dan notis ditampal adalah pendekatan yang lazim digunakan universiti dalam penguatkuasaan kerana ia bukan masalah disiplin besar di universiti ini dan kami mahukan perubahan berlaku atas dasar kesedaran pelajar sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa , Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak, KL, Siti Salamah Mohd Shihab, berkata masalah etika berpakaian kalangan pelajar tempatan terkawal namun pelajar antarabangsa disifatkan agak ‘liat’ dalam mematuhinya.

Antara langkah penguatkuasaan, katanya, adalah mengenakan denda bagi pelajar yang tidak memakai kad pelajar serta melarang pelajar berurusan di pejabat atau perpustakaan jika gagal mematuhi peraturan pakaian ditetapkan.

“Walaupun pelajar antarabangsa membuat pelaburan besar mengikuti pengajian di sini, mereka tetap tertakluk kepada undang-undang berpakaian universiti dan tindakan menegur pemakaian yang kurang sopan dan kemas tetap dijalankan terhadap mereka.

“Kita harap pelajar memahami tujuan peraturan seperti ini diwujudkan demi kepentingan mereka juga iaitu sebagai latihan sebelum mereka memasuki alam pekerjaan yang menuntut mereka untuk berpakaian kemas sesuai kerjaya diceburi,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: